Pagi hujung miggu di Cherok Tokun dimeriahkan lagi dengan sukan rakyat. Pelbagai acara dipertandingkan antaranya sukaneka untuk kanak-kanak, perlawanan bola sepak berpelikat antara pelajar UIAM dan penduduk kampung, tarik tali lelaki dan perempuan serta pertandingan kupas buah mangga dan buah kedondong atau dikenali dengan buah amra oleh penduduk Cherok Tokun. Sambutan daripada warga kampung tidak kurang hebatnya. Pada pagi itu, Padang Cherok Tokun diriuhkan dengan sorakan dan gelak tawa.
Pada malamnya, Cherok Tokun diserikan pula dengan malam kebudayaan. Satu lagi pengalaman baru lagi berharga telah kupungut. Tanpa diduga aku diberi tanggungjawab yang bagiku agak besar peranannya iaitu sebagai pengiring tetamu kehormat. Beliau adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Pertama kali diberi kepercayaan sebegini membuatkan aku sedikit gugup. Namun peluang ini sangat-sangat dihargai.
ushers
Kami dihiburkan dengan persembahan daripada kanak-kanak berbakat yang mempersembahkan nasyid, dikir puteri, tarian boria dan juga sajak. Untungnya menjadi anak-anak kampung Cherok Tokun kerana bakat yang ada tidak dibiarkan terpendam begitu sahaja, malah dikilat agar terus bersinar dan menyerlah di mata masyarakat.
tarian boria Pulau Pinang
Tidak ketinggalan, kami warga UIAM juga turut menyajikan satu pesembahan istimewa untuk meraikan penduduk kampung yang sudi menerima kehadiran kami seadanya. Buah tangan dari kami ialah sebuah teater lakonan yang bertajuk ‘Manusia’. Bagi menyerikan lagi persembahan, diselitkan juga nasyid dan tarian sumazau yang berasal dari Sabah. Walaupun tanpa persediaan dan latihan yang secukupnya, teater tersebut berjaya juga menghiburkan para penonton. Tahniah kepada pengarah, pelakon serta pihak yang terlibat kerana berjaya persembahkan hasil yang membanggakan.
No comments:
Post a Comment