Hari keenam: (20 Julai 2011) Rabu
Sedar tidak sedar sudah enam hari kami berkampung di Cherok Tokun. Hari ini merupakan hari terakhir program Zoom Penang berlangsung. Terasa seolah-olah baru semalam kami tiba disambut meriah oleh warga kampung. Aktiviti pada hari terakhir bermula seawal jam 8 pagi. Kami sekali lagi diberi tanggungjawab untuk menjadi fasilitator bagi program motivasi. Kali ini melibatkan pelajar-pelajar tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Juara dan diadakan di Dewan Orang Ramai Cherok Tokun. Sepanjang program kami berada dalam kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan terdiri daripada lima orang adik-adik serta seorang atau dua orang fasilitator. Kami sebagai fasilitator diminta untuk membimbing adik-adik untuk menjawab soalan karangan bahasa melayu dan juga karangan bahasa inggeris. Adik-adik kelihatan begitu bersemangat dan seronok dengan kehadiran kami.
Alhamdulillah, kali ini aku berasa lebih yakin berbekalkan pengalaman kali pertama menjadi fasilitator sewaktu di SMATD. Banyak perkara yang dikongsi dengan adik-adik. Semoga apa yang kami curahkan diaplikasikan oleh mereka dan semoga mereka semua berjaya dengan cemerlang. Insyaallah.
Setelah program motivasi berakhir, kami makan tengahari dan solat di Masjid Kg. Cherok Tokun dan kemudian bertolak pula ke Gereja St. Anne untuk lawatan. Kawasan gereja ini sangat luas dan berbukit. Sambil melawat, kami diberi taklimat panjang lebar tentang sejarah dan aktiviti keagamaan disitu.
melawat...
Dikawasan gereja itu juga terdapat batu bersurat Cherok Tokun.
Selesai lawatan, kami pulang ke rumah masing-masing. Badan agak keletihan namun digagahi jua untuk mengemas barang-barang. Malam nanti kami akan berangkat pulang ke UIAM. Terasa berat hati untuk meninggalkan keluarga baru ini. Sisa-sisa jam terakhir sebelum kami berpisah dihabiskan bersama. Mak sempat membungkus buah rambutan dan manggis untuk kami bawa pulang. Katanya “buah-buah ni nanti makan sama-sama ngan keluarga kat umah naa, dapat rasa sikit sorang pun jadilah”. Ya, terima kasih mak! Terasa sangat terharu.
Pada malamnya, majlis penutup diadakan di Galeri Pahlawan dimana tempat kami disambut ketika tiba di Cherok Tokun enam hari yang lepas. Turut disediakan sedikit jamuan. Pada majlis tersebut, kami anak-anak angkat menyerahkan sedikit cenderahati kepada ibu bapa angkat masing-masing. Sayu rasanya disaat perpisahan tiba. Sayu melihat mak menitiskan air mata melepaskan kami pulang. Namun perpisahan tetap perpisahan. Moga-moga ini bukanlah perpisahan terakhir. Insyaallah jika ada kelapangan kami pasti akan berkunjung lagi ke Cherok Tokun. Tika itu kita pasti akan bertemu lagi. Namun andai pertemuan itu tidak berlaku di dunia ini, moga Allah pertemukan kita di dunia yang hakiki, iaitu akhirat. Amin.
Keluarga angkat yang sangat baik :)
Lambaian selamat tinggal. Mak, Fitrah dan Barirah.
Sepanjang Zoom Penang 2011 berlangsung, banyak perkara baru yang aku pelajari. Perkara yang paling penting ialah nilai ukhwah dan kasih sayang. Perkenalan yang begitu singkat hanya selama enam hari, telah melahirkan rasa sayang terhadap insan-insan yang bukan sedarah sedaging. Nilai ukhwah sesama peserta dan ukhwah dengan keluarga angkat amat berharga. Kerana Zoom Penang kami bertemu, kerana Zoom penang jugalah ukhwah ini akan dibajai. Semoga ikatan ukhwah ini tetap subur.
::Musafir kami, pengikat ukhwah::
Tinta hati: Adibah ibrahim
2 comments:
i loved the moments when we were there.. i love them damn so much! <3
hehe...me too. sebak r tgk gmbr mok dk tata... ;(
mek, da wish blom kat fitrah nk exam da kan?
Post a Comment