Saturday, August 27, 2011

Zoom Penang 2011 (part 5)

Hari keempat: (18 Julai 2011) Isnin

Waktu pagi hingga ke petang pada hari keempat dihabiskan bersama keluarga angkat. Pagi itu mak dan ayah membawa kami ke pekan Kulim. Tengaharinya pula, kami dibawa ke rumah kak ngah iaitu anak kedua mak dan ayah. Kami makan tengahari disana. Jaraknya hanyalah lebih kurang lima minit dari rumah kami. Kak ngah mempunyai tujuh orang anak. Fitrah, Barirah, Abrar, Hasanah, Khairiah, Busyra dan Nasrullah. Kesemuanya kami anggap sebagai adik.

Kak ngah bersama anak-anak. Jamuan makan sempena hari lahir Barirah yang ke-15.

Setiap petang mereka pasti akan datang kerumah tok dan tok wan mereka samaada dihantar oleh kak ngah atau mereka datang menaiki motosikal. Fitrah, Barirah, Abrar dan Hasanah sememangnya pandai menunggang motosikal, membuatkan aku cemburu. Namun cemburuku hanya sekejap, atas tunjuk ajar Barirah akhirnya aku berjaya juga menunggang motosikal walaupun perasaan takut masih menyelebungi. Seronoknya tidak terkata saat motosikal yang aku tunggang meluncur laju diatas jalan walaupun hanya jalan kampung. Buat adikku Barirah, terima kasih atas tunjuk ajarmu.

Pada sebelah malam, kami warga Zoom Penang menganjurkan satu forum bertempat di Galeri Pejuang. Forum yang bertajuk Ukhwah Islamiah dan Masyarakat Progresif itu dimoduratorkan oleh saudara Hafiz dan terdiri daripada dua orang ahli panel yang didatangkan khas dari UIAM. Sambutan daripada warga kampung agak menggalakkan sehingga memenuhi dua buah khemah. Alhamdulillah, disamping mengadakan aktiviti khidmat masyarakat, pengisian berbentuk rohaniah juga tidak dilupakan. Itulah keistimewaan yang cuba ditampilkan. tahniah kepada biro dakwah dan training.



Friday, August 19, 2011

bulan dan bintang

bismillahirahmanirahim...

malam 15 ramadhan yg lepas,
ku donggak ke langit,

subhanallah...
bulan purnama...
CANTIK
INDAH

malam tadi, 18 ramadhan,
ku donggak ke langit,

subhanallah...
bintang-bintang...
CANTIK
INDAH

subhanallah, walhamdulillah, wallahu akbar!

moga hari esok aku masih berkesempatan menatap keindahan ciptaanMu Ya Robb...

~hamba ya kerdil~

Monday, August 15, 2011

Zoom Penang 2011 (part 4)

Hari ketiga: (17 Julai 2011) Ahad


Pagi hujung miggu di Cherok Tokun dimeriahkan lagi dengan sukan rakyat. Pelbagai acara dipertandingkan antaranya sukaneka untuk kanak-kanak, perlawanan bola sepak berpelikat antara pelajar UIAM dan penduduk kampung, tarik tali lelaki dan perempuan serta pertandingan kupas buah mangga dan buah kedondong atau dikenali dengan buah amra oleh penduduk Cherok Tokun. Sambutan daripada warga kampung tidak kurang hebatnya. Pada pagi itu, Padang Cherok Tokun diriuhkan dengan sorakan dan gelak tawa.



jom panaskan badan


acara sukaneka. adik-adik bersama kapten kumpulan masing-masing.


acara kupas buah


tarik tali wanita. kaum adam punye tak sempat ambik gambar.huhu

pasukan bola sepak

Pada malamnya, Cherok Tokun diserikan pula dengan malam kebudayaan. Satu lagi pengalaman baru lagi berharga telah kupungut. Tanpa diduga aku diberi tanggungjawab yang bagiku agak besar peranannya iaitu sebagai pengiring tetamu kehormat. Beliau adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Pertama kali diberi kepercayaan sebegini membuatkan aku sedikit gugup. Namun peluang ini sangat-sangat dihargai.

ushers

Kami dihiburkan dengan persembahan daripada kanak-kanak berbakat yang mempersembahkan nasyid, dikir puteri, tarian boria dan juga sajak. Untungnya menjadi anak-anak kampung Cherok Tokun kerana bakat yang ada tidak dibiarkan terpendam begitu sahaja, malah dikilat agar terus bersinar dan menyerlah di mata masyarakat.



nasyid


dikir puteri


tarian boria Pulau Pinang

Tidak ketinggalan, kami warga UIAM juga turut menyajikan satu pesembahan istimewa untuk meraikan penduduk kampung yang sudi menerima kehadiran kami seadanya. Buah tangan dari kami ialah sebuah teater lakonan yang bertajuk ‘Manusia’. Bagi menyerikan lagi persembahan, diselitkan juga nasyid dan tarian sumazau yang berasal dari Sabah. Walaupun tanpa persediaan dan latihan yang secukupnya, teater tersebut berjaya juga menghiburkan para penonton. Tahniah kepada pengarah, pelakon serta pihak yang terlibat kerana berjaya persembahkan hasil yang membanggakan.


salah satu babak dalam teater


berakhir hari ketiga...